Usai menjayakan konsert Shila Amzah Journey To The Future Live Tour di Plenary Hall, KLCC malam tadi, penyanyi popular Shila Amzah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Menerusi perkongsian di Instagram Stories Shila dan teman rapatnya, Ubai, penyanyi itu difahamkan diserang asthma dan mendapatkan rawatan nebulizer serta drip.
“Gagal,” kongsi Shila ringkas berserta emoji menangis di Instagramnya dalam keadaan yang masih bersolek selepas tamat konsertnya. Begitupun, individu yang paling istimewa pastilah Ubai yang setia menemani Shila ketika menerima rawatan di katil hospital.
Tulis ubai pula; “Get well soon”, bersama satu lagi hantaran bersulam GIF hati dan lagu-lagu popular Shila seperti Patah Seribu, Jauh Hati, Khilaf Asmara dan Masih Aku Cinta. Balas Shila daripada hantaran Ubai; “Ya Allah sempat.”
Sebelum ini, KONSERT Journey To The Future Shila Amzah yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu membuktikan penyanyi itu berada dalam kelas tersendiri.
Tampil penuh gaya bagi menghiburkan 3,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert tersebut, Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 32, berjaya menterjemahkan pengalaman hidup sepanjang tiga dekad bergelar anak seni menerusi persembahan bertenaga dan menghiburkan.
Membuka tirai konsert dengan lagu Dunia Baru, aksi lincah Shila menggamatkan suasana dewan dan kemantapan vokalnya tidak perlu dipertikaikan. “Segala suka duka, penat lelah dan getir kehidupan seorang Shila Amzah bakal dipersembahkan untuk anda malam ini,” katanya sejurus selesai menyampaikan lagu berkenaan.
Turut hadir ke konsert berkenaan adalah ibu bapanya iaitu Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman, anak lelakinya iaitu Seth Uwais, serta adik perempuannya, penyanyi Syada Amzah.
Apa mencuri perhatian adalah teman lelakinya iaitu personaliti media sosial, Ubai turut dilihat hadir ke konsert berkenaan.
Sumber : gempak